Monday, February 2, 2009

PERSEDIAAN AWAL MENGAJAR PENDIDIKAN ISLAM

Ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sebelum memulakan pengajaran. Antaranya ialah:


1. Mengenal diri.
Apabila kita menceburkan diri di dalam bidang perguruan, kita harus sedar siapa kita. Kita sebagai seorang guru dan dalam kategori mana. Dalam bahasa Arab, guru boleh diterjemahkan dengan berbagai istilah, seperti mudarris, mu`allim, murabbi, muaddib, dai`e, raais, nasih dan lain-lain.


Mudarris bermaksud guru yang mengajar dan menyampaikan maklumat kepada orang lain. Guru ini boleh jadi orang Islam dan bukan Islam. Kalau dia orang Islam, boleh jadi yang taat atau yang tidak taat. Perkara yang diajar boleh jadi yang baik atau pun tidak baik. Yang mengajar ilmu sihir pun mudarris, demikian juga yang mengajar ilmu salah atau ajaran sesat. Semua mereka ini termasuk dalam kategori mudarris.


Mu`allim ialah guru yang mengajar ilmu yang benar. Surah al-Baqarah ayat 31 menerangkan penggunaan kalimah mu`allim yang membawa makna mengajar perkara yang benar.


Murabbi pula bermaksud mendidik. Iaitu mendik dengan perasaan kasih dan sayang. Walau pun perkataan ini digunakan juga untuk perkara lain, seperti memellihara binatang dan pokok, tetapi apabila dipakai kepada manusia ia bermaksud mendidik anak-anak didik dengan penuh perasaan kasih sayang. Pemakaian ini disentuh di dalam surah al-Isra ayat 24, di mana Allah mengajar manusia supaya berdoa kepada Allah agar Allah mengasihi ibu bapa kita seperti mana mereka mendidik dan mengasihi kita semasa kita kecil dahulu. Dalam istilah ini terangkum juga di dalamnya menasihat dan membimbing.


Muaddib bermaksud mengajar adab. Apa yang diajarkan kepada murid atau anak-anak, sama ada bentuknya ilmu, kisah, permaianan, maka semuanya itu menjurus kepada mendidik anak-anak supaya beradab. Ilmu itu ialah adab, menuntut ilmu juga ialah adab, semasa menunutut ilmu kita perlu beradab, tanpa beradab ilmu menjadi tidak berkat. Dengan itu, sebelum mengajar pengetahuan berkaitan, ajar dahulu cara-cara dan adab-adab belajar.


Dai`e bermakana orang yang mengajak orang lain berbuat kabajikan. Ini maknanya guru bukan sahaja menyampaikan pelajaran, tetapi mengajar dan mengajak muridnya melakukan kebajikan dan meninggalkan kejahatan. Dengan itu guru haruslah terdiri daripada orang yang melakukan kebajikan.


Raais bermaksud ketua atau pemimpin. Di dalam sekolah guru adalah ketua. Apa sahaja kata guru akan diikut oleh murid. Ketua yang berwibawa haruslah mempunyai beberapa kriteria supaya sesuai dengan tugasnya sebagai guru dan ketua. Antaranya, ilmu, perwatakan, ketokohan, kewibawaan, akhlak, sikap dan penghayatan Islam.


Nasih dari segi bahasa ialah penasihat atau orang yang memberi nasihat. Maksudnya di sini ialah kaunselor. Jadi guru haruslah menyediakan masa untuk mendengar masalah murid dan seteruskan memberi cadangan, bimbingan dan nasihat. Ia tidak terhad kepada hal-hal pelajaran sahaja, malah ia boleh juga mengenai hal-hal sikap, tujuan hidup, kerjaya dan sebagainya.


Sekarang, cuba renungkan. Kita berada dalam ketegori mana? Sepatutnya bukan satu. Semua nilai-nilai itu ada pada setiap orang guru. Dengan itu barulah pengajarannya memberi kesan yang baik, bukan sahaja dalam aspek kognitif, malah dalam psikomor, affektif dan perasaan.


2. Menguasai Ilmu
Dalam hal ini ilmu boleh dibahagikan kepada 3 jenis, iaitu Ilmu bidang, Ilmu Fardhu Ain dan Ilmu alat.


Ilmu Bidang ialah ilmu yang kita dianggap pakar dalam bidang berkenaan dan itulah ilmu yang kita ajarkan kepada orang lain. Dinisbahkan kepada guru Agama, maka ilmu agama lah bidang kita. Justeru guru agma mesti dalam pengetahuannya tentang agama serta permasalahannya dan mantap kefahamannya. Jika guru sains, maka pengetahuan sainsnya mesti baik. Demikianlah dengan pelajaran lain. Sekirannya guru tidak menguasai bidangnya sendiri, ia tidak dapat menyampaikan pengajarannya dengan baik dan berkesan serta tidak dapat menjawab persoalan yang dikemukan oleh murid kepadanya.


Ilmu Fardhu Ain bukan bermaksud hukum-hukum bersuci, solat, puasa, zakat dan haji. Ini ialah Asas Fardhu Ain. Fardhu Ain di sini bermaksud ilmu tentang tanggungjawab setiap orang Islam, termasuk mengetahui haram halal dan sebagainya. Seorang peniaga harus mengetahui apa perkara yang boleh diperniagakan dan apa yang dilarang oleh Islam. Sebagai pegawai apa yang perlu ia lakukan terhadap pejabatnya dan orang yang di bawahnya. Guru pun demikian juga. Adakah mengajar sahaja atau ada kerja-kerja lain yang perlu dilakukan. Jika tidak dilakukan seperti yang ditetapkan apa akibatnya. Ini semua memerlukan ilmu agama khasnya yang bekaitan dengan amanah dan tanggungjawab.


Ilmu Alat pula bermaksud ilmu yang perlu bagi menjalankan tugas dengan lebih sempurna. Ini juga berdasarkan kepada bidang masing-masing. Kerani misalnya memerlukan kemahiran menaip, simpan kira dan lain-lain. Guru memerlukan ilmu yang berkaitan dengan pengajaran, iaitu psikologi, pedagogi, sosiologi, prinsip-prinsip pengajaran, perkaedahan, penilaian, kepimpinan, bahasa dan lain-lain.


3. Mengenal murid

Ini termasuklah mengenal nama murid dan anak siapa. Adakah murid ini bermasalah sama ada dari segi kesihatan perangai dan lain-lain. Mengetahui tahap umurnya, mengenal ibu bapa, sosioekonomi, dan tujuan murid itu dihantar ke sekolah. Adakah untuk belajar atau memenuhkan masa, atau untuk mendapat sesuatu sahaja, bukan semua pelajaran yang ditetapkan dan sebagainya.


4. Mempunyai kepakaran pengurusan bilik darjah

Di dalam bilik darjah terdapat murid-murid dan benda-benda lain seperti kerusi, meja, papan tulis gambar dan lain-lain. Guru perlu tahu bagaiman hendak mengurus segala kelengkapan bilik darjah supaya sesuai dengan mata pelajaran yang diajar dan nampak ceria dan kondusif. Bagaiman hendak mengawal kelas supaya pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan baik dan berkesan. Ini termasuklah kedudukan murid di dalam kelas. Yang kecil, yang besar, yang degil, yang lemah, yang kurang pendengaran, yang kurang pengelihatan, dan lain-lain.


5. Menguasai kemahiran starategi pengajaran

Strategi pengajaran ada dua, iaitu Strategi Profesional dan Strategi Kasih Sayang. Strategi profesionl termasuklah merancang, memilih tajuk, menyusun fakta, menyusun langkah-langkah pengajaran, pembinaan soalan dan sebagainya. Manakala strategi kasih sayang ialah pendekatan sebagai ibu atau bapa kepada anak-anak. Menolong, menasihat, bermesra dengan menggunakan bahasa isyarat dan body language setakat yang dibenarkan.